Consectetuer

Popular

Summary Cloud

Blogroll

Dikuasakan oleh Blogger.

Featured Video

Download

BTricks

BThemes

Comments

11 September 2007

Pertanian terus disokong!!! Siapa kata Sektor Pertanian Tidak Boleh Jadi Kaya??

LANJUTAN usaha untuk menempatkan semula sektor pertanian sebagai enjin ketiga ekonomi negara, kerajaan telah memperuntukkan sejumlah RM6.5 bilion untuk membangunkan bidang tersebut. Langkah ini menepati wawasan memajukan sektor pertanian negara.

Namun beberapa langkah tambahan diperlukan untuk menggiatkan kemajuan sektor pertanian ke tahap yang diuar-uarkan.

Tema Bajet 2008 adalah ke arah pembangunan modal insan. Sektor pertanian adalah sektor yang sangat-sangat memerlukan pembangunan modal insan, daripada ladang ke kilang, ke meja penyelidikan dan pasaran. Sektor pertanian negara masih lagi berintensifkan buruh – baik industri kelapa sawit mahupun sayur-sayuran. Salah satu faktor yang menyebabkan intensiti penggunaan buruh yang tinggi adalah kerana kekurangan tenaga terlatih dalam bidang kejuruteraan pertanian, bioteknologi pertanian dan pengendalian pascatuai yang moden dan berteknologi tinggi.

Industri kelapa sawit misalnya bergantung kepada buruh murah yang tiada kemahiran untuk menampung kos pengeluarannya. Strategi ini mungkin tidak dapat bertahan dalam jangka masa panjang. Perkara yang sama diperhatikan dalam pengeluaran sayur-sayuran.

Dunia mencatatkan kemajuan yang pesat dalam bioteknologi yang meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan dan pertanian. Di Malaysia, teknologi ini hanya menjadi mainan penyelidik atau saintis di makmal universiti. Ia tidak turun ke padang terutama kepada pengusaha, pekebun dan peniaga. Lagi tinggi teknologi, lagi tinggi keperluan usaha pengembangan untuk merapatkan jurang teknologi antara pengusaha atau pekebun dengan teknologi tinggi ini dan juga kepada pasaran.

Pembangunan industri bioteknologi berfungsi terus kepada sains dan teknologi. Bermakna industri ini dipandu oleh tenaga mahir dalam bidang ini. Industri ini bukan sahaja memerlukan penyelidik dan saintis untuk melaksanakan penyelidikan dan pembangunan (R&D), tetapi pengusaha dan pengeluar yang terlatih dalam bidang ini untuk menggerakkan industri ini.

Bajet 2008 tidak menyediakan agenda atau peruntukan:-

Membangun modal insan dalam pertanian dan

Peruntukan untuk memesatkan usaha pengembangan pertanian kepada pengusaha/pengeluar. Pengusaha yang berpengetahuan akan meningkatkan produktiviti dan output.

Kerajaan telah memperuntukkan dana untuk memajukan tanaman florikultur, herba dan rempah. Peruntukan disediakan untuk menerokai industri baru seperti minyak kelapa asas, nira-nipah dan kambing Boer. Ini merupakan inisiatif yang dinanti-nantikan untuk menggemblengkan kepelbagaian bio yang dimiliki oleh Malaysia.

Bagaimanapun, pembangunan industri baru memerlukan sokongan awalan kerana risiko pengeluaran dan pemasaran adalah tinggi. Pasaran kepada herba dan rempah masih lagi tidak menentu dan persaingan daripada pasaran luar negara adalah tinggi. Insentif kewangan perlu disediakan untuk membantu pengusaha ini meminimumkan risiko pengeluaran dan pemasaran. Pada masa yang sama R&D ke atas keluaran ini perlu dipertingkatkan untuk memastikan nilai tambah yang mencukupi.

Keputusan untuk meningkat pengeluaran padi mungkin berlandaskan kepada hujah ‘sekuriti makanan’. Ini kerana pengeluaran padi dan beras dunia yang tidak menentu kerana pemanasan dunia menyebabkan cuaca ekstrem dan tidak stabil. Keputusan ini boleh dianggap politically correct mengikut perkembangan semasa.

Peruntukan juga dibuat untuk meningkatkan hasil pendaratan ikan dan output. Polisi ini harus dilaksanakan berhati-hati kerana ia akan memberi implikasi kepada sumber ikan yang kini kehausan terutama di Selat Melaka. Teknologi pembuatan dan pengendalian ikan perlu diperbaiki untuk meningkatkan nilai tambah keluaran yang berasaskan ikan. Insentif fiskal perlu disediakan ke arah ini. Bagaimanapun, usaha kerajaan untuk membangunkan industri akuakultur adalah sangat bertepatan sekali memandangkan sumber di laut kian berkurangan.

Keputusan untuk membangun sektor ternakan juga diterima dengan baik. Namun isu asas industri ini tidak diberi penekanan yang diperlukan. Terutama isu pergantungan industri ini kepada import bahan makanan ternakan dan juga ternakan hidup. Pergantungan kepada input yang diimport adalah faktor utama yang menyebabkan Malaysia tidak mampu untuk mengeluarkan daging lembu, kambing dan keluaran tenusu. Isu ini harus ditangani untuk meningkatkan daya saing industri tersebut.

Malaysia juga bercadang untuk merintis pengeluaran baja, teknik fertigasi pengeluaran, mekanisasi dan automasi. Penyataan polisi ini sudah lama dinanti-nantikan kerana mekanisasi dan kaedah pengeluaran perkebunan di Malaysia adalah masih terkebelakang dibandingkan dengan Thailand.

Namun, tiada insentif yang disediakan untuk menggalakkan firma swasta mencari alternatif kepada pergantungan tenaga buruh murah yang tidak terlatih dari luar negara. Di kala ini, tiada polisi yang menghalang firma atau syarikat pertanian daripada menggunakan buruh murah dari luar negara yang tidak hanya memiliki kudrat tetapi tanpa kemahiran. Buruh murah ini diperlukan untuk memastikan tahap keuntungan yang mencukupi.

Mungkin beberapa polisi fiskal seperti disincentive diperkenalkan untuk mengelakkan syarikat perladangan ini bergantung kepada buruh asing dan pada masa yang sama insentif diberi ke arah mekanisasi dan automasi.

- PROF. FATIMAH MOHAMED ARSHAD ialah Pengarah Institut Kajian Dasar Pertanian

dan Makanan, Universiti Putra Malaysia.

0 ulasan: