Consectetuer

Popular

Summary Cloud

Blogroll

Dikuasakan oleh Blogger.

Featured Video

Download

BTricks

BThemes

Comments

08 Disember 2007

Semakin ramai petani guna ICT

BUTTERWORTH 7 Dis. – Petani merupakan golongan tertinggi di kawasan luar bandar yang menggunakan kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) untuk mengakses portal-portal kerajaan bagi mendapatkan maklumat dan perkhidmatan.

Kajian oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Jabatan Perdana Menteri baru-baru ini menunjukkan golongan itu memanfaatkan portal-portal berkenaan untuk memajukan aktiviti pertanian yang dijalankan.

Ketua Pengarah ICU, Tan Sri Khalid Ramli berkata, perkembangan positif itu membuktikan bahawa usaha kerajaan untuk menyediakan kemudahan dan perkhidmatan melalui aplikasi ICT kepada penduduk luar bandar semakin membuahkan hasil.

“Ini memberi petanda bahawa kemudahan ICT hasil daripada ledakan teknologi maklumat sebenarnya mampu manfaat yang sangat besar terutamanya kepada golongan di luar bandar.

“Justeru adalah amat penting supaya akses kepada portal-portal ini diperluaskan bagi membolehkan rakyat di semua lapisan tidak akan tersisih daripada kepesatan teknologi maklumat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran portal i-Cerve U dan e-Merah peringkat negeri Pulau Pinang yang disempurnakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Abdul Rashid Abdullah di Dataran Pemuda Merdeka di sini hari ini.

Khalid berkata, kajian itu turut menunjukkan pelajar dan kakitangan kerajaan merupakan golongan yang paling ramai menggunakan ICT di negara ini.

Beliau bagaimanapun berkata, secara keseluruhannya, penggunaan ICT di kawasan luar bandar masih berada pada tahap yang rendah dan kegiatan mempromosikan penggunaan kemudahan itu perlu terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Sehubungan itu, beliau menyeru para pemimpin masyarakat termasuk Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menyediakan kios di kawasan masing-masing bagi memudahkan orang ramai mempelajari serta menggunakan kemudahan itu.

“Kita perlu sedar bahawa kemudahan (portal) ini semakin relevan seiring dengan kepesatan pembangunan negara terutamanya melalui inisiatif zon pembangunan wilayah seperti Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER),” katanya.

Dalam ucapannya pada majlis itu, Khalid memberitahu, portal i-Cerve U merupakan gerbang informasi yang dapat membantu orang ramai mendapatkan maklumat daerah termasuk direktori pejabat daerah dan borang-borang permohonan yang boleh dimuat turun.

Berkonsepkan ‘singgah sebentar, selesai semua’ portal itu juga jelasnya, dapat memudahkan orang ramai memperoleh maklumat mengenai projek pembangunan yang sedang dan akan dijalankan di kawasan mereka.

“Selain mengandungi informasi daerah, ia juga menyediakan jaringan atau pautan kepada perkhidmatan yang disediakan oleh agensi atau jabatan serta pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.