Consectetuer

Popular

Summary Cloud

Blogroll

Dikuasakan oleh Blogger.

Featured Video

Download

BTricks

BThemes

Comments

28 Ogos 2007

Dana Bank Pertanian RM1 bilion


KUALA TERENGGANU: Modal Berbayar Bank Pertanian Malaysia (BPM) ditambah 20 kali ganda daripada RM42.5 juta kepada RM1 bilion selaras dengan pengkorporatan institusi kewangan itu yang akan dilaksanakan tidak lama lagi, kata Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Perdana Menteri berkata, dana itu ditambah bagi memastikan lebih ramai petani, penternak dan nelayan mendapat manfaat untuk mengembangkan industri berkaitan, sekali gus mampu meningkatkan pendapatan.

"Saya harap BPM akan lebih aktif dan menjadi satu-satunya institusi yang akan melaksanakan peranan besar dalam memajukan bidang pertanian, terutama industri asas tani.

"Jika pemohon memerlukan pinjaman lebih besar dengan mengemukakan alasan kukuh... mengapa tidak (diluluskan)... terserah kepada yang meminta dan bank akan memberi.

"Kalau perusahaan kecil tentulah pinjaman tidak terlalu besar, kalau industri besar tentulah keperluan untuk mendapat pinjaman akan lebih besar," katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) 2007 di Taman Awam Batu Burok di sini, semalam.

Hadir sama, isterinya Datin Seri Jeanne Abdullah; Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh serta Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

HPPNK 2007 berlangsung seminggu berakhir 2 September ini.

Dalam ucapannya, Perdana Menteri mahu projek perintis transformasi nelayan di Tanjung Dawai, Kedah diperluaskan ke kawasan lain bagi meningkatkan pendapatan golongan itu yang masih dikaitkan dengan kemiskinan.

Projek perintis transformasi mengumpulkan antara tiga hingga lima nelayan untuk mengusahakan sebuah bot besar yang dilaksanakan secara berkelompok menerusi Skim Dana Nelayan yang tidak mengenakan sebarang faedah.

Projek itu membolehkan nelayan bekerja 25 hari sebulan dengan purata pendapatan RM700 sebulan sebelum ini dapat ditingkatkan kepada antara RM1,200 hingga RM1,400 sebulan.

Mengenai gerai pameran HPPK 2007, Abdullah bangga kerana pengusaha tempatan semakin aktif menghasilkan produk makanan berasaskan hasil tani.

Beliau meminta Muhyiddin melantik kumpulan terdiri daripada pegawai agensi Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, seperti Mardi untuk mengenal pasti produk yang mampu dieksport ke luar negara.

"Selepas dikenal pasti, pengusaha perlu dibantu dari segi kualiti produk seperti pembungkusan dan pelabelan supaya mencapai kualiti produk eksport. Kita mahu HPPK menjadi medan mengenal pasti potensi produk termasuk buah-buahan segera," katanya.

Perdana Menteri turut memuji kesungguhan siswazah yang menjadi usahawan tani hingga mampu menawarkan pekerjaan pada pencari kerja lain.

"Inilah baiknya kita galakkan anak-anak muda menjadi usahawan dalam bidang apa jua yang menjadi pilihan mereka," katanya.

Sementara itu, mengenai pelantikan Hakim Besar Malaya yang baru, katanya bukanlah subjek untuk dibincangkan secara terbuka.

Isu jawatan Hakim Besar Malaya timbul baru-baru ini selepas laporan media luar negara mendakwa Majlis Raja-Raja menolak calon dikemukakan Perdana Menteri.

10,000 usahawan tani menjelang 2010

10,000 usahawan tani menjelang 2010


KERAJAAN mensasarkan untuk melahirkan 10,000 usahawan tani menjelang 2010 menerusi Program Pembangunan Usahawan Industri Asas Tani dengan setiap petani mampu meraih RM2,000 sebulan.


Katanya, sehingga Jun lalu, 2,974 usahawan tani, iaitu 2,048 usahawan baru dan 926 usahawan dinaik taraf manakala 3,195 usahawan baru akan dibangunkan menjelang akhir tahun ini.

“Menerusi program itu, usaha dijalankan bagi meningkatkan kualiti produk yang dikeluarkan ke tahap pasaran global yang menepati persijilan antarabangsa bagi sekurang-kurangnya 20 peratus daripada jumlah usahawan yang dinaik taraf.

“Usaha meningkatkan pengeluaran untuk Pelan Imbangan Dagangan dan mencapai kadar sara diri ditetapkan memerlukan penyertaan swasta,” katanya pada perasmian Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (PPNK) 2007, di Taman Awam Batu Burok, di sini, semalam.

Perasmian disempurnakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi. Hadir sama isterinya, Datin Seri Jeanne Abdullah dan Menteri Besar, Datuk Seri Idris Jusoh.

Muhyiddin berkata, banci menunjukkan 48 peratus daripada pengusaha tanaman berumur lebih 55 tahun, manakala 3 peratus berusia bawah 29 tahun.

"Ini menunjukkan sektor pertanian masih dikuasai petani atau pengusaha lanjut usia dan menjalankan projek pertanian di kawasan kecil.

"Pembabitan usahawan tani muda mampu mengatasi pengeluaran hasil rendah, kurang bermutu dan pengurusan ladang kurang cekap," katanya.

Beliau berkata, sektor pertanian dan industri asas tani disasarkan sebagai enjin ketiga pertumbuhan ekonomi negara dan sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku pertama tahun ini ialah 3.08 peratus dengan nilai ditambah RM3.7 bilion.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan merancang meningkatkan nilai tambah kepada RM23.94 bilion pada akhir 2010.

“Selain menyumbang kepada ekonomi negara, kemajuan sektor pertanian dan industri asas tani diharap dapat menurunkan nilai import makanan negara,” katanya.